Hello! Myspace Comments
Good Luck Graphicskepada kawan-kawan saya untuk dapat keputusan yang cemerlang dalam SPM

sinopsis keseluruhan Novel Konserto Terakhir

Posted by Jingjing on 6:23 AM comments (0)

Sinopsis Keseluruhan
Konserto Terakhir mengisahkan tentang seorang anak kampung bernama Hilmi yang telah datang ke rumah bapa saudaranya, Datuk Johari di Bandar untuk mencari pekerjaan. Kedatangannya tidak disenangi oleh Datuk Johari sekeluarga terutamanya Datin Salmah. Oleh sebab Hilmi hanya berkelulusan darjah empat sekolah Melayu. Datuk Johari tidak berjaya mendapatkan sebarang pekerjaan untuknya dan akhirnya Hilmi diambil bekerja sebagai tukang kebun di rumahnya. Walau bagaimanapun, Hilmi tetap tidak mendapat layanan yang baik daripada keluarga Datuk Johari.

Hilmi tetap seronok walaupun tidak mendapat layanan yang baik. Dia dapat merasakan bahawa dirinya dan bunga-bunga serta kebun sayurnya itu seperti mempunyai dunia sendiri. Datuk Johari mempunyai seorang anak gadis yang bernama Hayati yang mempunyai tunang bernama Mohsin. Hilmi dalam diam-diam menaruh hati kepada adik sepupunya itu sehinggakan dia cemburu dengan hubungan antara Hayati dan Mohsin. Di samping itu, Hilmi juga terpikat dengan alunan piano yang dimainkan oleh Hayati. Hilmi secara tidak sengaja telah merosakkan piano tersebut dan telah menyebabkan dia dimarahi Datin Salmah dan dipotong gajinya.

Sepeninggalan Datuk Johari dan keluarganya ke laur negeri, Hilmi ditugaskan untuk menjaga rumah. Sepanjang tempoh tersebut, Hilmi telah berkawan dengan Mamat iaitu drebar Dr. Nathan jiran Datuk Johari. Mamat telah pulang ke kampung dan telah berkahwin dengan Esah. Mamat juga telah membantu Hilmi berkenalan dengan seorang ahli muzik terkenal yang bernama Encik Bakar. Melihatkan bakat yang dimiliki oleh Hilmi, Encik Bakar amat berminat untuk melatih Hilmi menjadi ahli muzik yang terkenal tanpa sebarang bayaran.

Kepulangan Datuk Johari sekeluarga telah menimbulkan konflik antara Hilmi dengan Datin Salmah kerana setibanya mereka di pekarangan rumah, mereka telah mendengar bunyi piano dimainkan. Lebih-lebih lagi apabila Hayati memberi oleh-oleh kepada Hilmi. Datin Salmah telah menuduh Hilmi menggunakan ubat guna-guna untuk memikat Hayati. Akhirnya Hilmi terpaksa meninggalkan rumah Datuk Johari dengan alasan untuk balik ke kampung.

Hilmi tidak jadi balik ke kampung tetapi telah bekerja di sebuah stesen minyak di Jalan Setapak. Hilmi kemudian meneruskan cita-citanya untuk menjadi seorang pemuzik dan terus belajar muzik dengan Encik Bakar. Akhirnya Hilmi sudah pandai bermain pelbagai jenis alat muzik terutamanya trompet, seksofon, klarinet, dan biola. Hilmi juga telah berjaya menggubah lagu pertama yang berjudul “Sebuah Intermeso”.
Kekecewaan Hilmi semakin parah apabila dia mendapat berita perkahwinan Hayati dengan Mohsin. Untuk meneruskan cita-citanya Hilmi berhenti dari kios minyak petrol itu dan Encik Bakar membawanya bermain di dalam quartet yang dipimpinnya. Akhirnya Hilmi telah muncul sebagai “Pemain Biola Hikmat Malaysia”. Hayati pula telah mendapat biasiswa daripada British Council untuk belajar muzik di Conservatory of Music selama dua tahun dan akan berangkat ke London. Dengan pertolongan Mamat, Hilmi sempat berjumpa dengan Hayati. Hilmi telah menggubah sebuah lagu berjudul “Detik-detik Perpisahan” sempena perpisahannya itu. Sesuai dengan perkembangan muzik ketika itu Hilmi dan Azizah iaitu anak Encik Bakar telah menubuhkan sebuah kugiran, yang diberi nama Kugiran Dahlia. “Kugiran Dahlia” dengan cepat mendapat popularitinya. Akhirnya Hilmi dan Azizah diijabkabulkan sebagai suami isteri.

Rumah tangga yang dibina bersama Azizah tidak bahagia. Keretakan yang terjadi dalam rumah tangganya itu telah tidak dapat diselamatkan. Perasaan Hilmi bertambah sedih apabila mendapat berita Encik Bakar telah meninggal dunia. Kejayaan Hilmi sampai ke puncaknya. Tiga tahun berturut-turut Orkestra Hilmi telah muncul sebagai pemenang dalam pesta muzik tahunan yang dianjurkan oleh RTM (Radio Televisyen Malaysia). Hilmi juga telah diminta untuk membuat satu arrangement ( penyusunan) semua lagu yang telah digubahnya dalam satu pertunjukan Orkestra Perdana setaraf dengan Royal Performance ( persembahan di-Raja ) yang akan dihadiri oleh pembesar-pembesar negara. Dia memberi nama arrangement itu “Hilmi Potpouri”.

Hilmi telah bekerja siang dan malam selama dua bulan tanpa menghiraukan makan dan minum. Tidurnya amat sedikit sehinggakan kesihatannya terganggu. Di saat-saat pertunjukan Orkestra Perdana akan berlangsung, Hilmi telah jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Hayati telah muncul sebagai penyelamat keadaan dengan memimpin pertunjukan Orkestra Perdana itu.

Keadaan Hilmi kritikal. Ketika di hospital, Datuk Johari telah bertemu dengan abang sepupunya Karim. Karim akhirnya membongkar rahsia bahawa Hilmi bukanlah anaknya tetapi anak Datuk Johari. Perkhabaran itu menyebabkan Datuk Johari dan Datin Salmah menyesal kerana menganiayai Hilmi. Setelah diberitahu oleh doktor keadaan Hilmi semakin pulih, Datuk Johari dan keluarganya balik ke rumah. Setiba sahaja di perkarangan rumah, Datuk Johari menerima panggilan telefon menyatakan Hilmi telah meninggal dunia.

Peribahasa

Posted by Jingjing on 7:17 AM comments (0)

Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.

Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sabahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu.

Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan, yang membina minda. Tetapi pada masa kini, pelbagai peribahasa dicipta yang memaksa pelajar-pelajar menghafalkan seberapa banyak peribahasa seperti robot.

Peribahasa yang baru dicipta ini memberikan peluang kepada penerbit buku melariskan buku masing-masing dengan mengisi buku masing-masing dengan peribahasa moden yang janggal, dengan setiap penerbit menghasilkan peribahasa masing-masing.

Selain itu, peribahasa yang baru dicipta ini juga mendorong kepada merosakkan bahasa, kerana sesetengah daripadanya hanya dibuat secara serkap jarang tanpa sebarang penyeliaan oleh sebarang pihak.

Sebagai contoh (ciptaan sendiri):

Seperti tetikus tanpa wayar / Seperti tetikus lepas tambatan.

Penjelasan:Tetikus dahulu terikat kepada komputer dan tidak bebas bergerak. Bagaimanapun, tetikus moden tanpa wayar bebas bergerak tanpa perlu terikat dengan komputer.

Ertinya: Seseorang yang dahulunya terikat kini bebas hendak kemana-mana sahaja.

Contoh penggunaan: Aminah kini bebas pergi ke disko semenjak dia keluar dari rumah keluarganya dan berpindah di kampung kebandar, seperti tetikus lepas tambatan.

Peribahasa Maknanya
Cacing hendak menjadi naga. Orang kecil hendak menyama-nyamai orang besar-besar.
Cacing menelan naga. Anak orang bangsawan diperisteri oleh orang kebanyakan; orang yang berkuasa dapat dialahkan oleh orang yang lemah.
Cacing menjadi ular naga. Orang hina menjadi orang mulia.
Cakak sudah, silat teringat.
(cakak = kelahi.) Perkara sudah selesai, barulah terdengar keterangan atau sungutan.
Cakap berdegar-degar, tahi tersangkut di gelegar. Cakapnya saja yang besar tetapi tidak ada satu pun pekerjaan yang dilakukan olehnya.
Cakap berlauk-lauk makan dengan sambal lada. Cakapnya seperti orang kaya, padahal miskin.
Cakapan sejengkel dibawa sehasta. Berlebih-lebihan daripada hal yang sebenarnya.
Calak-calak ganti asah, menanti tukang belum datang.
calak-calak = lampas. Dipakai untuk sementara waktu saja, sementara belum ada yang lebih baik;
sekadar untuk mencukupi keperluan saja.
Campak baju nampak kurap seperti anak kacang hantu. Orang-orang muda yang tiada memelihara kehormatan dirinya ataupun kehormatan orang lain di jalan-jalan raya.
Campak baju nampak kurap. Mendedahkan keburukan diri sendiri.
Campak bunga dibalas dengan campak tahi. Kebaikan dibalas dengan kejahatan.
Canggung seperti antan dicungkilkan duri (= gigi). Melakukan sesuatu pekerjaan yang bukan sepatutnya.
Cari umbut kena buku. Mencari yang baik, mendapat yang buruk.
Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Perselisihan sesama keluarga itu akhirnya akan berbaik kembali.

Posted by Jingjing on 3:59 AM comments (0)

Panduan Menjawab Soalan-soalan komsas

Posted by Jingjing on 2:59 AM comments (0)

26 markah [35 - 9 daripada Pemahaman Umum]

Walaupun markahnya 26 sahaja dengan 8 -9 soalan daripada 3 bahagian, namun kalau anda peka dan tahu teknik untuk mendapatkan markah atau menjaga markah supaya tidak diambil @dipotong @didenda oleh pemeriksa, senang-senang sahaja anda akan mendapat markah penuh. Tak percaya? Ikut nasihat ini:

  • Baca soalan dan jawab berdasarkan kehendak soalan. [mungkin anda akan kata, memanglah... tapi ketahuilah murid-murid sekalian, banyak pelajar yang tersilap kerana tidak menjawab soalan yang ditanyakan.]
  • Jangan pula tak jawab soalan dan dibiarkan kosong. Sah 0 markah; dapat juga markah kan? Tapi kosonglah.
  • Apabila menjawab soalan, pastikan anda menjawab soalan itu dengan lengkap. Tatabahasa mesti betul. Ejaan dan tanda baca mesti betul. Jangan nak cepat, tulis tu main tarik saja, sampai n jadi u dan sebagainya. Jangan pula buat ejaan seperti yang biasa dalam dunia siber atau sms. Nahas tu! [Nampak remeh kan? Tapi perkara ini semua sangat penting. Kadang-kadang kerana kelalaian kita, percuma saja kita buang markah yang amat berharga]
  • Soalan 1 biasanya akan bertanya tentang makna kata atau frasa atau maksud perenggan. Bagi makna kata atau frasa, berikan kata sinonim yang lain. Bagi puisi moden atau tradisional - apabila anda menjawab, sila gunakan bahasa prosa moden. Gunakan ayat anda sendiri. Jangan cedok bulat-bulat ayat pantun, seloka atau sajak itu. Berikan maksud mengikut pemahaman anda (sebagaimana yang anda telah pelajari). Begitu juga dengan prosa tradisional. Guna ayat sediri iaitu bahasa moden. (jangan pula guna bahasa sms - parah)
  • Soalan kedua biasanya soalan kbkk. Jawaban bagi soalan ini hendaklah daripada calon sendiri @ pendapat calon. Sekiranya calon menuliskan isi-isi atau perkara-perkara yang yang ada dalam petikan, markah 0 akan diberikan. [tak jawab soalan- anda didenda]. Namun demikian, jawaban bagi soalan ini hendaklah berkaitan dengan topik, jangan suka-suka hati nak beri pendapat sendiri tetapi tak ada kaitan.
  • Sekiranya soalan yang ditanyakan itu wajar atau tidak, anda harus bijak. Walaupun anda boleh memilih sama ada wajar atau tidak, tetapi anda haruslah bijak memilih yang mana lebih baik, yang sepatutnya, dan yang mudah untuk ditanda oleh pemeriksa atau yang pemeriksa selesa. (ini pendapat saya sahaja)
  • Pastikan anda memberikan pendapat yang dihuraikan. Kalau boleh berikan beberapa pendapat. Tulis lebih tak apa asal tatabahasa terpelihara. Saya selalu bercakap kepada pelajar-pelajar saya bahawa kalau seseorang itu mahu mandapat A dalam BM, dia hendaklah rajin menulis, menulis dan menulis. Jangan lupa, serlahkan kematangan anda dalam huraian pendapat anda itu.
  • Soalan ketiga biasanya berkaitan dengan unsur komsas. Dalam prosa tradisional, jarang ada soalan aspek komsas. Tahun ini tak tahulah.
  • Aspek Komsas yang biasa ditanyakan ialah tema, persoalan, watak dan perwatakan, gaya bahasa, latar, nilai dan sebagainya sebagaimana yang anda telah pelajari. Kadang-kadang ada soalan begini:
  • Jelaskan 2 nilai berdasarkan petikan dan dua nilai berdasarkan keseluruhan cerpen. Bagaimana nak jawab? Dua nilai daripada petikan ialah nilai kasih sayang dan tabah. Mama Zel amat menyayagi Zel dan memberikan hadiah sebuah komputer bersempena hari lahirnya. Mama Zel tabah menghadapi pelbagai dugaan hidup sebagai ibu tunggal yang perlu mencari sara hidup sendiri manakala dua nilai daripada keseluruhan cerpen pula ialah nilai tekun dan nilai yakin diri. (kemudian berikan contoh kedua-dua nilai tersebut).
  • Nampak macam panjang kan? Tapi tak apa, lebih baik bagi lebih daripada beri kurang. Objektif kita ialah untuk mendapatkan markah yang diperuntukkan itu.
  • Jangan keliru antara nilai dan persolan kerana kadang-kadang ada nilai yang juga merupakan persoalan. yang pentingnya bagaimana anda menuliskan nilai itu sebagai persoalan. Contoh: kasih sayang ialah nilai, bagaimanakah kasih sayang menjadi persoalan? Salah satu caranya ialah dengan meletakkan perkataan persoalan di hadapan kasih sayang >>> persoalan kasih sayang atau tambahkan perkataan lain contoh antara keluarga. Persoalan kasih sayang antara ibu dan anak dsb. Yang pentingnya, apabila anda menjawab soalan persoalan, jangan sesekali samakan persoalan dengan nilai kerana pemeriksa akan keliru untuk memberikan anda markah. Jangan kelirukan pemeriksa.
  • Apa lagi ya? Oh ya, jangan seronok sangat menulis hingga anda mengabaikan masa. Rancang masa anda dengan baik dan jawab semua soalan. Saya doakan anda semua akan berjaya dengan cemerlang dalam SPM khususnya dalam BM. Malam ini tidurlah dengan lena selepas berdoa semoga kerja keras anda selama ini akan membuahkan hasil yang cemerlang. Esok, bangun dengan segar dan penuh semangat dan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan hak anda.

Sumber: http://cikguliz.blogspot.com/search/label/SPM